Sunday 10 November 2013

Generasi Yang Unik

Assalamualaikum kepada para pembaca yang dirahmati Allah sekarang. Semoga para pembaca mendapat keredhaan Allah SWT. sebagai sambungan kepada entry yang lepas, kali ini perantau akan membincangkan suatu topik yang agak berat, tetapi sangat menarik.

Dalam perbincangan yang lepas KLIK DISINI JIKA BELUM BACA, perantau membincangkan bahawa agama ini harus dilaksanakan oleh manusia menuruti segala kemampuan manusia itu. Hal ini mencakupi segala elemen kemanusiannnya, fitrahnya, kudratnya, daya pikirnya dan daya tepunya. Manusia juga mesti berusaha sebaik mungkin dalam urusan ugama. Bahkan dalam segala urusan, termasuk urusan dunia. Pendek kata, lakukan segala pekerjaan anda bersungguh sungguh. Solat, zakat, puasa, makan, minum, tidur, berjalan, memandu, bermain bola sepak, belajar, welding, wiring, menyelam dan segala pekerjaan kita, lakukan dengan bersungguh sungguh dan kerana Allah SWT.

Kali ini perantau akan membincangkan berberapa prinsip yang pernah melahirkan suatu generasi yang amat hebat dalam sejarah ketamadunan manusia umumnya. Generasi yang mana tidak akan muncul lagi selepas ini. Generasi yang sepatutnya menjadi contoh kepada seluruh manusia. Kepada seluruh umat Islam khasnya.
Memang benar, pada hari ini kita dapat melihat figur figur yang hebat, tetapi tidak dapat kita nafikan bahawa, pada hari ini tidak pernah berkumpul suatu kelompok yang sama sehebat dengan generasi yang perantau maksudkan tadi. Seolah olah orang orang yang hebat ini tidak mampu melahirkan pelapisnya. Hakikatnya, generasi hari ini tidak mencontohi generasi tersebut. Generasi yang perantau maksudkan itu ialah, generasi Para Sahabat, dan dua generasi selepasnya. Atau dikenali dengan salafussoleh. Perantau akan fokus kepada generasi sahabat.

Dakwah ini pernah melahirkan generasi yang amat hebat, generasi para sahabat. Generasi yang mempunyai prinsip tersendiri dalam seluruh sejarah umat Islam. Para pendakwah Islam seharusnya memerhatikan hal ini dengan mendalam dan menyeluruh. Agar dapat kita ketahui segala rahsianya.

Dua perkara ada pada tangan kita pada hari ini, yang menjadi sumber dakwah ini. Sebagai mana ia pernah menjadi sumber dakwah pada generasi pertama. Al Quran masih ada pada tangan kita dan Allah sendiri bertanggungjawab memeliharanya. Hadis Rasulullah SAW berserta petunjuk petunjuknya yang praktikal masih ada sampai pada hari ini. Juga sirah nabi masih ada pada hari ini.

Namun, cuba kita fikir, apakah rahsia dakwah dan metodologi generasi pertama ini yang mungkin tidak akan muncul lagi? Apa rahsianya?

Ada orang yang jahil berpendapat bahawa, generasi itu hebat kerana adanya Rasulullah SAW pada zaman itu. Jika kerana Rasulullah SAW, generasi ini menjadi hebat, maka tentulah Allah tidak akan menjadikan Risalah Muhammad SAW sebagai risalah penutup. Ia hanya untuk zaman para sahabat. Tetapi risalah ini adalah risalah sepanjang zaman, sepanjang jalan.....sampai kiamat.

Jadi apa rahsianya? Jadi perantau akan membincangkan dari tiga aspek utama.

1. Sumber rujukan agung

Al Quran merupakan satu satunya tempat rujukan generasi sahabat ini. Manakala petunjuk dari Rasulullah SAW(hadis) merupakan tafsiran kepada rujukan yang utama itu

Generasi pertama menjadikan Al Quran sebagai reference point/titik rujukan dalam setiap hal kehidupan, menjadikan Al Quran sebagai standard dalam mereka untuk berfikir.

Adakah ini kerana tidak ada titik rujukan yang lain pada zaman itu? Ini adalah soalan orang yang tidak memahami sejarah. Pada awalnya Islam, berdirinya dua empayar dan ketamadunan yang kaya dari segi sudut pikir dan teknologi. Tamadun Rom dan Parsi mengelilingi jazirah Arab. Agama Yahudi dan Nasrani berkembang disana dan di jazirah Arab juga. Bukan menjadi alasan, kekurangan bahan untuk dijadikan titik rujukan menjadikan Al Quran sebagai rujukan utama.

Inilah prinsip generasi sahabat yang pertama. Mengambil rujukan hanya dari Al Quran dan Hadis Nabi SAW. Dalam semua hal kehidupan, termasuk metod dalam berfikir, menjalani kehidupan dan segala isinya. Hal ini telah pun disengajakan Maha Perancang.



Suatu hari Rasulullah SAW melihat Umar Al Faruq RA memegang selembar buku taurat, lalu baginda berkata "Demi Allah, seandainya Nabi Musa AS hidup di kalangan kamu sekarang ini, nescaya ia mesti mengikuti ajaranku" (Al Hafiz Abu ya'al, daeri Hammad, dari Al Sya'bi, dari jabir)

Demikianlah bagaimana Rasulullah SAW membataskan dan mengehadkan sumber rujukan bagi umatnya. Iaitu hanya Al Quran dan Hadis Nabi SAW.

Rasulullah SAW ingin mencipta dan membina suatu generasi yang suci jiwanya, bersih otaknya, bersih konsepsinya, bersih pemikirannya, bersih kejadiannnya dari setiap pengaruh yang lain.

Realiti sekarang, ramai umat Islam mengambil cara pikir dari pelbagai aliran falsafah greek, teologi kristian dan saki baki tamadun lain. Sebab ini kita lemah!

2. Cara pengambilan Al Quran/ Cara berinteraksi dengan Al Quran

Generasi pertama berinteraksi dengan Al Quran bukan untuk menambah pengetahuan atau memperluas pandangan semata mata. Bukan juga untuk menghayati kecantikan sasteranya. Bukan juga untuk menambah perbendaharaan ilmu dalam masalah fiqh. Sehingga otak menjadi tepu. Walaupun semua itu  ada dalam Al Quran.

Para Sahabat menerima dan berinteraksi dengan Al Quran umpama seorang askar di medan perang yang bersiap sedia untuk menerima apa apa arahan dari pihak atasnya.

Ya! Ini prinsip kedua. Iaitu menerima dan berinteraksi dengan Al Quran sebagai suatu perintah yang mesti dilaksanakan. Perintah dan arahan! Mereka menerima sesuatu ayat Quran hanya untuk di amalkan dan dihayati dalam perjalanan dakwah dan hidupnya.

"Dan Al Quran itu telah Kami turunkan dengan berangsur-angsur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bagian demi bagian." [Al Isra: 106]

Kaedah "menerima untuk dilaksanakan" telah melahirkan generasi yang hebat, generasi para sahabat. Bandingkan dengan kaedah "menerima untuk dipelajari dan dinikmati"

Hari ini Al Quran di jadikan hiasan di almari sehingga ia penuh habuk. Al Quran dipertandingkan siapa yang paling merdu bacaannya. Al Quran menjadi hantaran kahwin. Al Quran hanya di Masjid.


3. Metod selepas menerima Al Quran sebagai arahan

Para Sahabat yang diredhai Allah, apabila mereka menerima Islam sebagai cara hidup. Mereka dengan sepenuhnya meninggalkan cara hidup jahiliahnya. Ingatkah anda peristiwa pengharaman arak secara total. Habis semua belanga yang ada arak dipecahkan tanpa ada kompromi.

Bagimana para sahabat meninggalkan segala bentuk jahiliah yang pernah mereka amalkan sebelum Islam dengan meninggalkannya tanpa syak, ragu dan was was. Merek tidak merasa lemah dengan meninggalkan amalan jahiliah mereka.



Di ibaratkan seperti membuka lembaran baru sebuah buku. Membukanya tanpa rasa ragu.
Inilah prinsip ketiga, memisahkan diri dari jahiliah secara total.

Kita pada hari ini, ragu ragu nak menderma ke Masjid. Ish3.

Perantau simpulkan, ada tiga prinsip yang menjadikan Para Sahabat begitu unik dan hebat.

1. Sumber rujukan hanyalah Al Quran dan AS Sunnah

2. Menerima Al Quran sebagai perintah yang mesti dilaksanakan

3. Meninggalkan segala amalan jahiliah/tidak berasaskan Islam

Sampai disini sahaja nukilan perantau kali ini. Moga bermanfaat. Yakinlah Al Quran itu petunjuk sepanjang jalan. InsyaAllah akan ada sambungan untuk entry ini.


Assalamualaikum.....

No comments:

Post a Comment