Tuesday 5 November 2013

Manhaj untuk manusia

Assalamualaikum kepada para pembaca blog perantau sekalian. Semoga pembaca mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT sentiasa. Lama sudah perantau tidak mengupdate apa apa isu dalam blog ini. Menyepi sebentar dari dunia penulisan. Sibuk dengan pelbagai urusan. Alhamdulillah, sekarang ada kekuatan untuk menulis semula.

Agak serius dan berat sedikit yang perantau ingin bincangkan kali ini.

Manhaj untuk manusia.

Wujud suatu prinsip atau dasar yang amat penting dan perlu di fahami oleh setiap insan, terutama umat Islam. Dasar ini amat mudah untuk di fahami dan dimengertikan. Walaubagaimanapun, dasar ini sering diabaikan oleh umat ini. Mungkin kerana malas, dengki atau amarah. Konsikuensi dari pada tidak memahami dasar yang penting ini akan mengakibatkan timbulnya suatu salah faham dalam memahami dasar agama ini.

Dengan menganggap agama ini turunnya dari Allah SWT, sesetengah manusia bahkan sebahagian besar manusia mengharapkan agar agama ini berfungsi dengan cara yang luar biasa dan ajaib. Mereka mahu ini terjadi tanpa mengambil kira tabiat semula jadi manusia, kemampuan semulajadi manusia, realiti hidup manusia dan tanpa mengaitkan segala elemen ini dengan perkembangan dan persekitaran manusia.

gambar hiasan



Dan apabila mereka melihat agama ini tidak berfungsi menurut apa yang mereka harapkan mereka mula kecewa. Bahkan menolak untuk menyahut seruan agama ini apatahlagi untuk turut serta bersama agama ini. Kekecewaan ini adalah hasil dari salah faham tadi. Dan atas sebab tidak mahu memahami dasar ini. Apakah dasar yang perantau cakap ini?

Dasar tersebut ialah.....

Agama ini adalah suatu panduan atau manual yang Allah gariskan untuk kehidupan manusia. Agama ini terlaksana dalam kehidupan manusia melalui:

1. usaha manusia itu sendiri

2. menuruti kemampuan manusia

3. sesuai dengan realiti kehidupan manusia

Agama ini akan bermula daripada titik di mana manusia menerima tugas tugas mereka seterusnya memimpin mereka menuju penghujung jalan DENGAN mengunakan segala kemampuan semula jadi manusia dan sejauh mana usaha mereka.

Keistimewaan agama ini akan tetap wujud pada bila bila masa walau dimana jua, DAN ia tidak akan sama sekali mengabaikan fitrah manusia dan had had kemampuan manusia. Agama ini pernah mencapai suatu tahap yang tidak pernah di capai oleh mana mana manhaj ciptaan manusia seperti mana yang berlaku dalam sejarah ketamadunan manusia. Dan tidak mustahil, ia boleh berulang jika ia diusahakan dengan BERSUNGGUH SUNGGUH!


gambar hiasan

Agama ini tidak terlaksana dengan hanya mengunakan kalimah ilahi "jadilah". Ia tidak akan terlaksana dengan penyampaian atau tazkirah semata mata. Ia juga tidak akan terlaksana sebagaimana Allah memerintah cakarawala ini melaksanakan perintahNya.

Hanya Allah sahaja mengetahui kenapa agama ini harus dilaksana dengan mengambil kira kemampuan fitrah manusia, keupayaan manusia. Dan Allah mahukan hidayah ini diperoleh melalui usaha dan kehendak manusia itu sendiri. Firman Allah:

"Dan orang-orang yang berjihad(berusaha) untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik." [Al Ankabut: 69]

Allah mahukan supaya manhaj ilahi yang dikurniakan kepada manusia terlaksana melalui usaha dan menuruti kemampuan manusia itu sendiri. Firman Allah:

'...Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri..." [Ar-Ra'd: 11]

Allah juga mahukan agar manusia menyedari hal ini, mahukan supaya fitrah manusia ini sentiasa berfungsi, tidak di sisihkan dan tidak diabaikan. Firman Allah:

"Dan jiwa dan Yang menyempurnakan (kejadiannya). Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa (jalan) kejahatan dan ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang membersihkan jiwa. Dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorkannya." [As- Syams: 7-10]

Manhaj ini hanya dapat dipikul oleh segolongan manusia yang benar benar mengimani kebenaran manhaj ini. Mereka beristiqomah dengan manhaj ini menuruti kemampuan mereka. Mereka menerapkan ini di dalam hati dan jiwa mereka. Mereka menundukkan hawa nafsu mereka. Mereka melawan kelemahan diri mereka. Mereka menentang sesiapa sahaja yang menuruti hawa nafsu dan sesiapa yang menghalang usaha ini. Dengan segala kemampuan yang ada mereka berusaha semaksima mungkin.

Ini adalah tabiat dan pendekatan agama ini. Ini adalah panduan dan cara kerja agama ini. Inilah hakikat yang ingin diajarkan oleh Allah kepada umat Islam ketika ini

Persoalan muncul...

Bukankah agama ini datangnya daripada Allah? Bukankah Allah menguasai segala-galanya? Jadi mengapa agama ini hanya berfungsi menurut had kemampuan manusia? Mengapa fungsi agama ini dipengaruhi oleh kelemahan manusia? Mengapa pula agama ini memerlukan usaha manusia? Selain itu, kenapa agama ini tidak selamanya menang? Mengapa para pendokong agama ini tidak selamanya menang? Mengapa kelemahan manusia, keinginan syahwat dan realiti hidup seringkali menghalang kegemilangan agama ini? Mengapa kadang kala pendokong kesesatan berjaya mengalahkan pendokong agama ini sedangkan mereka ini adalah pendokong kebenaran?

Persoalan ini muncul akibat tidak memahami dasar agama ini. Dasar yang amat mudah untuk di fahami.

Dasar inilah yang amat penting untuk difahami oleh kita selaku pendokong agama yang benar ini. Memahami bahawa agama ini tidak akan terlaksana melainkan dengan adanya usaha dan kemampuan kita sendiri.

Contohnya, Allah memerintahkan kita untuk solat. Adakah boleh kita solat jika kita hanya duduk diam dan tidak bergerak? Tidak bergerak kebilik air untuk berwudhuk? Solat itu mesti dilaksanakan berdasarkan usaha dan dalam kemampuan kita. Selari dengan fitrah kemanusiaan.




Begitu juga agama dan manhaj ini. Ia perlu dilaksanakan melalui usaha dan kemampuan manusia itu.


Dipetik dan diolah dari sebuah buku berjudul "Inilah Agama" karangan Sayyid Qutb.



Akhir kalam, perantau menyeru kepada pembaca untuk menjadi orang yang sentiasa berusaha. Dalam apa jua urusan, terutama dalam urusan agama dan akhirat. Sedangkan kita disuruh bekerja untuk mencari makan, apatahlagi dalam mendapat hidayah Allah. Jadilah orang yang sentiasa bekerja, dan berusaha keras. Sememangnya berusaha ini dituntut di dalam Islam. InsyaAllah akan ada sambungan untuk entry ini di waktu yang lain.


Assalamualaikum....

No comments:

Post a Comment