Tuesday 30 April 2013

Al Munajat


           Assalamualaikum kepada para pembaca yang dikasihi sekalian. Semoga para pembaca dirahmati Allah selalu. Sebelum meneruskan, eloklah kita menghadiahkan al Fatihah kepada mak ayah kita(bagi yang sudah pergi), sedekahkan juga kepada para mujahidin yang telah menyambut panggil dari Maha Pencipta.


          Dalam kesibukan kita menguruskan hal hal keduniaan, janganlah kita lupa akan satu kewajipan yang mesti kita laksanakan iaitu menyeru manusia kepada Allah. Atau erti kata lain berdakwah;

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung         [Ali Imran:104.]

Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. [An Nahl:125]

Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.                    [At Taubah:105]

                Saudara ku sekalian, sesungguhnya isi kandungan Al Quran itu amat berat bagi orang  yang memahami dan berfikir. Kerana beratnya isi Al Quran itu, para sahabat sanggup bermati matian untuk menyampaikan isinya. Ada yang sampai ke Bumi China, Syam, Afrika. Di dalam urusan berdakwah, sudah pasti dirintangi dengan duri duri, kaca kaca, lumpur lumpur, debu debu, pahit maung kesusahan, dan bukannya dibentangi dengan karpet merah.


Disebabkan betapa beratnya isi Al Quran ini, dan betapa susahnya jalan dakwah ini, Allah memerintahkan Rasulullah SAW untuk bangun malam sebagai suatu sumber kekuatan dan bekalan di sepanjang jalan dakwah;

"Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah untuk solat di malam hari, kecuali sedikit daripadanya, iaitu seperduanya, atau kurangilah dari seperdua itu sedikit, atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan." [al Muzzammil: 1 - 6]

Oleh itu bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu itu), dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam.Serta bertasbihlah kepadaNya pada malam hari dan sesudah mengerjakan sembahyang [Qaff :39 -40]

Dalam Risalah "Al Munajat", Imam Hasan Al Banna memberi dorongan agar anggota ikhwanul Muslimin melakukan Qiamullail. Beliau berkata;

          Wahai Saudaraku, boleh jadi waktu terbaik untuk bermunajat ialah engkau berkhalwat dengan Tuhanmu di saat orang orang sedang tidur nyenyak dan seluruh alam menjadi hening; pada ketika malam melabuhkan tirainya dan bintang bintang telah menghilang; engkau mengingati Tuhanmu, mengakui kelemahanmu dan mengakui keagungan Tuhanmu. Itu semua membuatkan kamu merasa kemersaan di hadapan-Nya, hatimu tenang dengan mengingati-Nya, engkau merasa gembira dengan kurnia dan rahmat-Nya, menangis kerana takut kepada-Nya menyedari pengawasan-Nya, bersungguh sungguh beristighfar, mengadu seluruh keperluan kepada Zat yang tidak pernah lemah oleh sesuatupun dan tidak dilekakan oleh segala sesuatu. FirmanNya;

Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia. [Yasin: 82]

                Bermohonlah kepada-Nya untuk kepentingan duniamu, akhiratmu, jihadmu, dakwahmu, cita citamu, harapan harapanmu, tanah airmu, keluargamu, dirimu sendiri dan saudara saudaramu:

........Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.                 [Ali Imran: 126]

                Kemesraan dan kenikmatan jiwa saat melakukan Qiamulail dan munajat dapat melupakan kepenatan badan dan keletihan kaki. Rasulullah SAW melakukan qiamulail dan memanjangkan masa berdiri sehingaa kakinya yang mulia bengkak, namum baginda tidak merasa sakit kerana tenggelam dengan kemesraan menghampirkan dir kepada Allah. Sebahagian orang salih berkata: "tiada satu  waktu di dunia yang menyamai kenikmatan akhirat, kecuali waktu yang dilalui oleh ahli tahajud yang merasakan lazatnya munajat." Marilah berusaha menikmati kelazatan tersebut!

          Akhir sekali saya katakan kepadamu wahai saudaraku, bangunlah di waktu malam sebagai seorang hamba yang fakir dan lemah yang tertunduk tunduk di waktu malam untuk mengetuk pintu TuhanNya Yang Maha Pemurah: ia berdiri di depan pintuNya dalam keadaan merendah diri, merasa lemah, mengakui kelalaian dan dosa dosanya, sangat memerlukan pengampunan dan redhaNy, serta menaruh harapan besar untuk mendapatkan rahmat, kerelaan dan syurgaNya.

          Wahai saudaraku, ketuklah pintu Tuhanmu di kegelapan malam dengan melakukan sembahyang yang khusyuk, berberapa sujud yang panjang, berberapa doa yang tulus, berberapa tasbih dan berberapa titisan air mata kerana takut kepadaNya, serta yakinlah bahawa Tuhanmu akan mengabulkan doa doamu. Janganlah kamu lupa untuk berdoa dalam suasana yang penuh kebaikkan berada di sisiNya agar diberikan kemenangan dan kekuasaan bagi agamaNya serta berdoalah untuk saudara saudaramu tanpa mereka sedari.


Hai jiwaku, beertasbihlah dan bersolatlah!
saat urusan urusan berat berat menyerangmu

          apabila hati sudah merasa letih
          dari beban kehidupan yang melelahkan

alirkan air mata, wahai jiwa
lalu tumpahlah ia ke dalam solat

          sesungguhnya Tuhan Alam Semesta mendengar
          tangisan jiwa memohon kasihnya

 Petikan itu diambil dari karya Mustafa Masyhur "Bekalan di sepanjang jalan dakwah"

"Siang umpama singa dirimba, malam umpama rahib merintih sayu"




itulah perumpamaan bagi para mujahid di jalan Allah

         Perantau menyeru kepada pembaca sekalian, pertamanya, jangan pernah lupa akan tanggungjawab kita sebagai pendakwah itulah sunnah Rasulullah SAW yang paling besar, tunaikanlah semampu anda! keduanya, medan perjuangan memang sukar, susah dan payah, pahit, diwarnai dengan kedukaan dan kesakitan, oleh itu ubatilah ia dengan qiamulail dan bekalkan diri dengannya. ketiganya, anda adalah khalifah di muka bumi ini, mulianya darjat Allah kurniakan, maka jangan hinakan darjat itu dengan pekerjaan yang sia sia lagi terkutuk(maksiat)   
 
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.  [Al Anbiya:35]

jika terdapat sebarang kesilapan dari terjemahan ayat Quran, mohon perbetulkan, selebihnya Allah sahaja yang Maha Mengetahui

sekian,

Assalamualaikum