Monday 13 May 2013

AS-SYAHID SAYYID QUTB DI DALAM KENANGAN

Assalamualaikum, semoga para pembaca di rahmati Allah selalu. Entry kali ini, perantau hendak berkongsi suatu kisah hidup seorang pendokong dakwah Nabi Muhammad SAW di era moden ini. Sayyid Qutb. Siapa yang tidak kenal akan nama ini. Perjuangannya dalam meneruskan kerja kerja menyampaikan dakwah Islam kepada umat ini, begitu hebat. Inilah antara contoh pejuang Islam yang patut kita jadikan teladan. Dan bukannya pelakon filem korea yang entah pape. Namanya mashur sepanjang zaman. Banyak buku buku yang beliau tulis dan diantara yang perantau sudah telaah "ma'alim fi thoriq", "tafsir fhi zhilalil Quran" "Hazaa Ad Deen" dan lain lain. Membaca karyanya, benarlah, beliau menulis dengan iman.



Jom hayati kisah hidup insan ini.


Beliau dilahirkan pada tahun 1906 di sebuah kampung bernama Musya, Asyout di Mesir. Beliau dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang sederhana dan berpegang kuat kepada agama. Semenjak kecil lagi beliau telah berjinak-jinak dengan al-Quran dan tidak hairan jika beliau telahpun menghafal al-Quran semenjak berusia sembilan tahun. Dalam usia yang masih terlalu muda ini beliau telah memperlihatkan beberapa keistimewaan yang bakal menempatkan beliau di kedudukan yang tinggi.
Walaupun masih kecil untuk memahami isi kandungan al-Quran tetapi beliau dapat merasakan makna ayat-ayat ini bermain-main di benak fikirannya seolah-olah kandungan ayat ini hidup di dalam khayalannya. 

Pengalaman ini diceritakan sendiri oleh beliau.

“Saya mula membaca al-Quran ketika saya masih kecil lagi. Walaupun fikiran saya ketika itu masih tidak cukup untuk memahami maksud dan kehendak ayat-ayat ini cuma saya dapat rasakan sesuatu. Setiap kali saya membaca al-Quran ianya tergambar dalam khayalan saya. Gambaran ini memang aneh tetapi saya dapat rasakan kepuasan dan keseronokannya.”

Apabila dewasa beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Darul Ulum dan menetap di Kaherah. Dalam usia yang masih muda ini beliau terpaksa berdikari memelihara adik-adiknya, Muhammad, Aminah dan Hamidah apabila ayah dan ibu beliau meninggal dunia.

Setelah menamatkan pengajian, beliau memulakan karier sebagai penulis sastera dan puisi di beberapa syarikat akhbar dan majalah seperti Ahram, Risalah, Usbuk, Syarq Jadid, Alam Arabi dan sebagainya.

Pada tahun 1948 sehingga tahun 1950 beliau telah dihantar sebagai wakil Kementerian Pendidikan Mesir ke Amerika Syarikat bagi mengkaji sistem pendidikan di sana. Walau bagaimanapun setelah meneliti sistem ini beliau mendapati hanya sistem pendidikan Islam sahaja yang sesuai sebagai landasan kepada sistem pendidikan di Mesir. Pandangan beliau ini menyebabkan beliau dituduh sebagai kolot dan jumud oleh kalangan yang berada di dalam Kementerian Pendidikan. Seterusnya pengalaman beliau di Amerika ini dibukukan di bawah tajuk “Amerika Yang Kulihat”, menceritakan pengalaman beliau mengenai kepalsuan demokrasi dan diskriminasi warna kulit yang wujud di Amerika dengan membandingkan dengan Islam. Apa yang menarik, pada ketika ini beliau masih belum mengenali dakwah Ikhwan Muslimin.

Setelah mengenali dakwah Ikhwan Muslimin beliau telah menerbitkan majalah ‘Fikr Jadid’ yang menjadi medan untuk beliau mengkritik sistem kapitalis dan manipulasi golongan atasan ke atas rakyat. Melalui majalah ini beliau menggabungkan antara fikrah dan harakah dalam usaha untuk menegakkan panji Islam di dunia Islam.

Dalam tahun 1952, Sayyid Qutb telah dipilih sebagai anggota exco di Maktab Irsyad dan beliau dilantik sebagai pengerusi Unit Penyebaran Dakwah di Ibu Pejabat Ikhwan Muslimin. Pada tahun 1954, beliau dilantik sebagai ketua editor bagi akhbar ‘Ikhwan Muslimin’. Malangnya, setelah sebulan di pasaran akhbar ini telah diharamkan oleh Presiden Mesir, Jamal Abdul Nasir kerana menentang perjanjian Mesir-British yang dimeterai oleh Jamal Abdul Nasir dengan kerajaan British. Dalam tahun yang sama pada bulan Januari beliau bersama-sama dengan ikhwan yang lain telah dipenjarakan di Penjara Qal’aah, Penjara Harbi, Penjara Abu Za’bal, Penjara Liman Turoh. Walau bagaimanapun beliau dibebaskan pada bulan Mac 1954 disebabkan oleh sakit tenat yang dialaminya.

Pada bulan Julai, 1955 beliau dipenjarakan semula, kali ini dengan hukuman penjara serta kerja berat selama 15 tahun. Sekali lagi beliau dibebaskan semula selepas sepuluh tahun menjalani hukuman kerana campur tangan Presiden Iraq ketika itu, Abdul Salam Arif.

Kebebasan yang diperolehi ini membolehkan beliau menumpukan tenaga beliau kepada perkembangan dakwah dan dalam tempoh ini beliau telah menghasilkan banyak penulisan. Buku pertama yang dihasilkan dalam tempoh ini ialah ‘Fi Zilal Al-Quran – Di Bawah Bayangan Al-Quran’.

Ke Tali Gantung

Pada tahun 1965, beliau sekali lagi dipenjarakan. Kali ini dengan tuduhan mengepalai konspirasi Ikhwan Muslimin untuk menggulingkan kerajaan. Beliau telah dihadapkan ke mahkamah boneka dengan peguam bela yang dilantik sendiri oleh kerajaan. Dengan keputusan mahkamah yang telahpun ditentukan beliau bersama-sama beberapa orang ikhwan yang lain telah dijatuhkan hukuman gantung hingga mati.

Pada waktu Subuh 29 Ogos 1965 hukuman gantung tersebut telah dilaksanakan. Gugurlah seorang syahid pergi mengadap Tuhannya setelah membuktikan kesucian dan keikhlasan perjuangannya. Dari seorang anak yang kecil sehinggalah ke akhir hayatnya beliau tidak rela untuk tunduk akur kepada kezaliman.

Beliau pernah berkata:

“Jari telunjuk ini yang menjadi saksi setiap kali di dalam sembahyang
bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah tidak mungkin sama
sekali akan menulis coretan yang hina dan mengampu-ampu. Jikalau sememangnya saya layak
dipenjara, saya reda menerimanya. Tetapi jikalau saya dipenjara dengan zalim, saya sama sekali
tidak akan tunduk memohon belas kasihan daripada orang vang zalim…”
Walaupun jasadnya telah disemadikan namun keimanan dan keikhlasannya tetap bersemi di dalam jiwa-jiwa generasi akan datang menjadi obor sementara menanti fajar yang menyingsing.

(Dipetik daripada buku Hadzaddeen (Inilah Islam), Syed Qutb)

benar benar tulisan telah menembusi jutaan kepala orang, termasuk penukil blog ini  :')


"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman. (Surah Ali ‘Imran:169-171)

Ramai pejuang pejuang Islam telah syahid di jalan Allah. Syahid mereka itu tanda saksi akan syahadah yang meraka ucapkan semasa tashahud solat mereka.

maka, apakah pula bukti kesaksian syahadah kita? 

adakah hanya dengan bergoyang kaki?

berfoya foya?

tonton korea 24 jam?

lalai....kita lalai dengan tanggungjawab kita.

semoga kisah hidup pejuang pejuang Islam dapat kita jadikan teladan sepanjang zaman. Dan sebaik baik teladan itu adalah diri Rasulullah SAW.

sekian, assalamualaikum wbt.

No comments:

Post a Comment