Assalamualaikum kepada para pembaca yang dirahmati Allah
sekarang. Semoga para pembaca mendapat keredhaan Allah SWT. sebagai sambungan
kepada entry yang lepas, kali ini perantau akan membincangkan suatu topik yang
agak berat, tetapi sangat menarik.
Dalam perbincangan yang lepas KLIK DISINI JIKA BELUM BACA, perantau membincangkan bahawa
agama ini harus dilaksanakan oleh manusia menuruti segala kemampuan manusia
itu. Hal ini mencakupi segala elemen kemanusiannnya, fitrahnya, kudratnya, daya
pikirnya dan daya tepunya. Manusia juga mesti berusaha sebaik mungkin dalam
urusan ugama. Bahkan dalam segala urusan, termasuk urusan dunia. Pendek kata,
lakukan segala pekerjaan anda bersungguh sungguh. Solat, zakat, puasa, makan,
minum, tidur, berjalan, memandu, bermain bola sepak, belajar, welding, wiring,
menyelam dan segala pekerjaan kita, lakukan dengan bersungguh sungguh dan
kerana Allah SWT.
Kali ini perantau akan membincangkan berberapa prinsip yang
pernah melahirkan suatu generasi yang amat hebat dalam sejarah ketamadunan
manusia umumnya. Generasi yang mana tidak akan muncul lagi selepas ini.
Generasi yang sepatutnya menjadi contoh kepada seluruh manusia. Kepada seluruh
umat Islam khasnya.
Memang benar, pada hari ini kita dapat melihat figur figur
yang hebat, tetapi tidak dapat kita nafikan bahawa, pada hari ini tidak pernah
berkumpul suatu kelompok yang sama sehebat dengan generasi yang perantau
maksudkan tadi. Seolah olah orang orang yang hebat ini tidak mampu melahirkan
pelapisnya. Hakikatnya, generasi hari ini tidak mencontohi generasi tersebut.
Generasi yang perantau maksudkan itu ialah, generasi Para Sahabat, dan dua
generasi selepasnya. Atau dikenali dengan salafussoleh. Perantau akan fokus
kepada generasi sahabat.
Dakwah ini pernah melahirkan generasi yang amat hebat,
generasi para sahabat. Generasi yang mempunyai prinsip tersendiri dalam seluruh
sejarah umat Islam. Para pendakwah Islam seharusnya memerhatikan hal ini dengan
mendalam dan menyeluruh. Agar dapat kita ketahui segala rahsianya.
Dua perkara ada pada tangan kita pada hari ini, yang menjadi
sumber dakwah ini. Sebagai mana ia pernah menjadi sumber dakwah pada generasi
pertama. Al Quran masih ada pada tangan kita dan Allah sendiri bertanggungjawab
memeliharanya. Hadis Rasulullah SAW berserta petunjuk petunjuknya yang
praktikal masih ada sampai pada hari ini. Juga sirah nabi masih ada pada hari
ini.
Namun, cuba kita fikir, apakah rahsia dakwah dan metodologi
generasi pertama ini yang mungkin tidak akan muncul lagi? Apa rahsianya?
Ada orang yang jahil berpendapat bahawa, generasi itu hebat
kerana adanya Rasulullah SAW pada zaman itu. Jika kerana Rasulullah SAW,
generasi ini menjadi hebat, maka tentulah Allah tidak akan menjadikan Risalah
Muhammad SAW sebagai risalah penutup. Ia hanya untuk zaman para sahabat. Tetapi
risalah ini adalah risalah sepanjang zaman, sepanjang jalan.....sampai kiamat.
Jadi apa rahsianya? Jadi perantau akan membincangkan dari
tiga aspek utama.
1. Sumber rujukan agung
Al Quran merupakan satu satunya tempat rujukan generasi
sahabat ini. Manakala petunjuk dari Rasulullah SAW(hadis) merupakan tafsiran
kepada rujukan yang utama itu
Generasi pertama menjadikan Al Quran sebagai reference
point/titik rujukan dalam setiap hal kehidupan, menjadikan Al Quran sebagai
standard dalam mereka untuk berfikir.
Adakah ini kerana tidak ada titik rujukan yang lain pada
zaman itu? Ini adalah soalan orang yang tidak memahami sejarah. Pada awalnya
Islam, berdirinya dua empayar dan ketamadunan yang kaya dari segi sudut pikir
dan teknologi. Tamadun Rom dan Parsi mengelilingi jazirah Arab. Agama Yahudi
dan Nasrani berkembang disana dan di jazirah Arab juga. Bukan menjadi alasan,
kekurangan bahan untuk dijadikan titik rujukan menjadikan Al Quran sebagai
rujukan utama.
Inilah prinsip generasi sahabat yang pertama. Mengambil
rujukan hanya dari Al Quran dan Hadis Nabi SAW. Dalam semua hal kehidupan,
termasuk metod dalam berfikir, menjalani kehidupan dan segala isinya. Hal ini
telah pun disengajakan Maha Perancang.
Suatu hari Rasulullah SAW melihat Umar Al Faruq RA memegang
selembar buku taurat, lalu baginda berkata "Demi Allah, seandainya Nabi
Musa AS hidup di kalangan kamu sekarang ini, nescaya ia mesti mengikuti
ajaranku" (Al Hafiz Abu ya'al, daeri Hammad, dari Al Sya'bi, dari jabir)
Demikianlah bagaimana Rasulullah SAW membataskan dan
mengehadkan sumber rujukan bagi umatnya. Iaitu hanya Al Quran dan Hadis Nabi
SAW.
Rasulullah SAW ingin mencipta dan membina suatu generasi
yang suci jiwanya, bersih otaknya, bersih konsepsinya, bersih pemikirannya,
bersih kejadiannnya dari setiap pengaruh yang lain.
Realiti sekarang, ramai umat Islam mengambil cara pikir dari
pelbagai aliran falsafah greek, teologi kristian dan saki baki tamadun lain.
Sebab ini kita lemah!
2. Cara pengambilan Al Quran/ Cara berinteraksi dengan Al
Quran
Generasi pertama berinteraksi dengan Al Quran bukan untuk
menambah pengetahuan atau memperluas pandangan semata mata. Bukan juga untuk
menghayati kecantikan sasteranya. Bukan juga untuk menambah perbendaharaan ilmu
dalam masalah fiqh. Sehingga otak menjadi tepu. Walaupun semua itu ada dalam Al Quran.
Para Sahabat menerima dan berinteraksi dengan Al Quran
umpama seorang askar di medan perang yang bersiap sedia untuk menerima apa apa
arahan dari pihak atasnya.
Ya! Ini prinsip kedua. Iaitu menerima dan berinteraksi
dengan Al Quran sebagai suatu perintah yang mesti dilaksanakan. Perintah dan
arahan! Mereka menerima sesuatu ayat Quran hanya untuk di amalkan dan dihayati
dalam perjalanan dakwah dan hidupnya.
"Dan Al Quran itu telah Kami turunkan dengan
berangsur-angsur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami
menurunkannya bagian demi bagian." [Al Isra: 106]
Kaedah "menerima untuk dilaksanakan" telah
melahirkan generasi yang hebat, generasi para sahabat. Bandingkan dengan kaedah
"menerima untuk dipelajari dan dinikmati"
Hari ini Al Quran di jadikan hiasan di almari sehingga ia
penuh habuk. Al Quran dipertandingkan siapa yang paling merdu bacaannya. Al
Quran menjadi hantaran kahwin. Al Quran hanya di Masjid.
3. Metod selepas menerima Al Quran sebagai arahan
Para Sahabat yang diredhai Allah, apabila mereka menerima
Islam sebagai cara hidup. Mereka dengan sepenuhnya meninggalkan cara hidup
jahiliahnya. Ingatkah anda peristiwa pengharaman arak secara total. Habis semua
belanga yang ada arak dipecahkan tanpa ada kompromi.
Bagimana para sahabat meninggalkan segala bentuk jahiliah
yang pernah mereka amalkan sebelum Islam dengan meninggalkannya tanpa syak,
ragu dan was was. Merek tidak merasa lemah dengan meninggalkan amalan jahiliah
mereka.
Di ibaratkan seperti membuka lembaran baru sebuah buku.
Membukanya tanpa rasa ragu.
Inilah prinsip ketiga, memisahkan diri dari jahiliah secara
total.
Kita pada hari ini, ragu ragu nak menderma ke Masjid. Ish3.
Perantau simpulkan, ada tiga prinsip yang menjadikan Para
Sahabat begitu unik dan hebat.
1. Sumber rujukan hanyalah Al Quran dan AS Sunnah
2. Menerima Al Quran sebagai perintah yang mesti
dilaksanakan
3. Meninggalkan segala amalan jahiliah/tidak berasaskan
Islam
Sampai disini sahaja nukilan perantau kali ini. Moga
bermanfaat. Yakinlah Al Quran itu petunjuk sepanjang jalan. InsyaAllah akan ada
sambungan untuk entry ini.
Assalamualaikum.....